Bola Sepak

'Post mortem' Penang FC selesai [METROTV]

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Satu 'post mortem' berhubung prestasi suram pasukan Penang FC (PFC) telah dijalankan pada Oktober lalu dengan proses lantikan melibatkan jurulatih dan pemain yang akan beraksi dalam saingan Liga Super akan datang sedang berlangsung.

Exco Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata pihaknya bersetuju bahawa pelantikan yang dibuat harus dilakukan secara berhati-hati dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk jurulatih teknikal dan kecergasan.

"Kita percaya pemilihan pemain atau jurulatih bukan sahaja dibuat berdasarkan pengalaman atau pencapaian yang pernah diperoleh tetapi juga daripada segi kesesuaian terutamanya untuk pemain kita.

"Jadi kita telah jalankan 'post mortem' pada awal bulan Oktober lalu dan kita memang sedang dalam proses menjalankan lantikan-lantikan baharu cuma masih belum mengadakan mesyuarat.

"Selain itu, dua pemain Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang akan diserap ke pasukan PFC untuk Liga Super dengan 11 lagi pemain SUKMA akan diserap ke dalam pasukan Liga Simpanan," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN ke-14 di sini hari ini.

Lip Chee (DAP-Bagan Jermal) berkata demikian ketika menjawab soalan Satees Muniandy (DAP-Bagan Dalam) berhubung berapa jumlah peruntukan yang diberikan kepada PFC berkata sebanyak RM8 juta telah disalurkan kepada pasukan itu sepanjang kempen Liga Super musim ini.

Satees turut mempersoalkan mengapa pasukan bola sepak lain yang berbelanja lebih rendah seperti Petaling Jaya City FC boleh menunjukkan prestasi begitu baik berbanding PFC yang turut mendapat sokongan dana kerajaan negeri.

Terdahulu Satees menyuarakan pandangan bahawa pemilihan jurulatih dan pemain harus dilakukan dengan cermat jika pasukan yang berusia 102 tahun itu mahu terus kekal relevan dalam Liga Malaysia.

"Saya juga ingin bertanya atas dasar apa (Ketua) Jurulatih Zainal Abidin (Hassan) dipilih sebelum ini walaupun beliau orang sama yang membawa Pulau Pinang keluar daripada Liga Super ke Liga Perdana pada musim 2017/2018.

"Mengapa beliau dikekalkan begitu lama meskipun prestasi PFC begitu teruk sehingga berada di tangga tercorot Liga Super," ulasnya.

Lip Chee menjelaskan perbincangan telah diadakan termasuk melibatkan Zainal Abidin selepas beberapa perlawanan namun peluang masih diberikan kerana pihaknya berpendapat bekas pemain bola sepak 1980-an dan 90-an itu boleh memperbaiki pasukan pada tahap yang lebih baik.

"Jurulatih yang kita pilih diserahkan kepada satu panel jawatankuasa dan kita juga ada menandatangani perjanjian berhubung perkara ini.

"Maka dari segi perjanjian memang kita juga mengharapkan bahawa lantikan jurulatih baharu sebagai contoh Zainal Abidin dapat membantu pasukan memenangi permainan-permainan seterusnya," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2022 @ 7:51pm
d