Bola Sepak

Selangor bertemu JDT di final

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Selangor FC melangkah ke pentas final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menang dengan agregat 3-2 menumpaskan finalis Piala FA musim ini, Terengganu FC (TFC).

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini, TFC berjaya merakam kemenangan 1-0, namun skuad Penyu 'menangis' selepas tewas menerusi agregat.

Terdahulu skuad Penyu yang ketinggalan dua gol menerusi agregat selepas tewas 1-3 pada aksi separuh akhir pertama bermula garang pada minit ke-12 menerusi rembatan menarik kapten, Kipre Tchetche namun sedikit melepasi palang gol.

Seminit berselang, berpunca daripada hantaran silang Hein Htet Aung dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah, penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion terlepas peluang untuk menambah agregat pasukannya sekali gus terselamat gawang yang dikawal penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim.

Pada minit ke-20, pasukan Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe sekali lagi mencemaskan kubu tuan rumah, namun tandukan pemain kelahiran Terengganu, Mohd Nor Hakim Hassan yang menerima umpanan daripada kapten, Brendan Gan gagal menemui sasaran.

Tersentak serangan lawan, berbekalkan hampir 35,500 peminat setia, skuad Penyu memperkemaskan asakan untuk memburu jaringan.

Hasilnya pada minit ke-35 menerusi hantaran Faisal Halim, Tchetche yang berada dalam kotak penalti berjaya menyambar peluang itu untuk disudahkan dengan jaringan walaupun dikawal ketat pertahanan lawan buat pasukannya mendahului 1-0.

Seminit kemudian, Faisal yang mendapat umpanan daripada Manuel Ott hampir menambah gol, namun rembatan padunya berjaya ditampan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Pada minit ke-56, TFC mendapat jaringan kedua sekali lagi menerusi Tchetche, namun jaringan itu dibatalkan pengadil, Suhaizi Shukri kerana pemain kelahiran Ivory Coast itu terlebih dahulu dikesan ofsaid.

Sedar skuadnya ketinggalan dengan agregat 2-3, Nafuzi memasukkan dua tenaga baharu, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Arif Fadzilah Abu Bakar bagi menggantikan Faiz Nasir dan Muhammad Alif Zakaria, namun masih gagal menambah jaringan.

Sebaliknya pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi Brendan yang mendapat umpanan daripada Mukhairi Ajmal, namun tolakannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol tuan rumah.

Pada minit ke-87, pertahanan pelawat, Yazan Al-Arab dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari Tchetche sekali gus memaksa Gergasi Merah beraksi dengan sepuluh pemain.

Bagaimanapun kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: November 21, 2022 @ 11:18pm
d