Bola Sepak

Peluang JDT, Selangor FC seimbang

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor FC diibaratkan final impian Piala Malaysia musim ini apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan di Stadium Nasional, Bukit Jalll, Sabtu ini.

Penganalisis bola sepak tempatan yang juga bekas pemain Johor, Hasnizam Uzir berkata, walaupun JDT diletakkan pasukan pilihan untuk muncul juara tapi keupayaan Selangor FC mencipta kejutan tidak boleh di pandang sebelah mata.

Katanya, episod duka skuad Harimau Selatan musim lalu mungkin boleh berulang jika pemain pasukan itu bersikap terlalu yakin tatkala kedua-dua pasukan tampak seimbang dalam saingan Liga Super biarpun Selangor FC tewas 1-5 pada aksi 24 Jun sebelum terikat pada aksi 3 September lalu.

"Ia final impian kerana kedua-dua pasukan mempunyai aura tersendiri di mana Selangor FC begitu sinomin dengan Piala Malaysia selepas muncul juara 33 kali manakala JDT semakin hampir menyapu bersih empat piala dipertandingkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Malah JDT juga mahu melakar sejarah belum pernah dilakukan mana-mana pasukan bukan sahaja menggondol empat piala tapi mahu mengekalkan rekod bersih tanpa tewas sepanjang aksi Liga M pada musim ini.

"Namun JDT tidak boleh terlalu ghairah memburu kejuaraan Piala Malaysia dan mereka harus berhati-hati seperti kata pepatah yang dikejar tak dapat, dikendong berciciran.

"Justeru mereka harus beraksi tanpa tekanan dan sentiasa memberi fokus setiap minit permainan tanpa bersikap tergesa-gesa dan sentiasa menekan barisan pertahanan Selangor FC," katanya.

Hasnizam juga melihat JDT bakal mempertaruhkan Jordi Amat dan Shahril Saad mengemudi pertahanan berbanding Feroz Baharudin selepas gandingan Jordi dan Shahril tampak lebih ampuh.

Namun beliau tidak menafikan sumbangan Feroz yang memperagakan aksi terbaik sepanjang ketiadaan Shane Lowry yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Tambahnya, gandingan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri bakal menjadi duri dalam daging buat skuad Cheng Hoe dan ketiadaan Yazan Al-Arab yang digantung perlawanan selepas menerima kad merah mungkin memberi peluang untuk gandingan serangan JDT itu melakukan percubaan berbahaya.

"Apapun peranan posisi tengah JDT dengan kembalinya Leandro Velazquez dalam skuad itu pasti beri impak yang baik bagi merencana gerakan di posisi itu dan kelibat Natxo Insa amat penting kerana dia mampu mempercepat atau memperlahankan permainan.

"Kemungkinan kelicikan Arif Aiman (Hanapi) agak terbatas apabila pergerakannya bakal dikawal rapi Fazly Mazlan yang menunjukkan peningkatkan mendadak di posisi bek kiri dan tempoh 90 minit permainan saya lihat ia terarah kepada permainan berintensiti tinggi," kata Hasnizam.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 3:01pm
d