Bola Sepak

Kedudukan pemain utama Jerman belum terjamin

Oleh AFP

Doha: Pengendali Jerman, Hansi Flick memberi amaran tiada pemain yang terjamin tempat dalam kesebelasan utama menjelang pertembungan sengit menentang Sepanyol selepas kekalahan mengejut 2-1 kepada Jepun.

Kekalahan menentang Sepanyol boleh menyebabkan Jerman tersingkir di peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut.

Sudah pasti ia gagal diterima oleh seluruh peminat negara itu dengan mengukur pada pencapaian mereka sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir setiap kali Piala Dunia sebelum tragedi 2018.

Flick berjanji 'memperbetulkan keadaan' apabila berdepan skuad muda Sepanyol yang membelasah Costa Rica 7-0.

Cabaran sukar menanti Jerman apabila pengendali Sepanyol, Luis Enrique menaruh keyakinan pasukannya akan mempamerkan rentak permainan sama berdepan Jerman.

Ditanya sama ada Joshua Kimmich akan mengambil tempat di bahagian tengah bertahan, Flick berkata keutamaannya adalah perubahan di barisan tertentu.

"Kami mengadakan perbincangan membabitkan apa sahaja masalah peribadi dan setiap posisi. Kami melakukannya sebelum aksi setiap perlawanan.

"Sudah menjadi tugas kami sebagai jurulatih untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan pasukan." kata Flick yang berdepan kritikan mengenai pemilihan pemain dalam pasukannya.

Antaranya pertahanan tengah Borussia Dortmund, Niklas Suele, yang melepaskan Takuma Asano dari kedudukan ofsaid di sebelah kanan hingga membolehkan gol kedua Jepun dihasilkan.

Bagaimanapun pengendali Jerman itu tetap menyalahkan kegagalan skuadnya menghasilkan jaringan.

"Apabila memiliki dua atau tiga peluang terbaik, anda perlu menutup perlawanan dan mengekalkan penguasaan itu. Kami kurang kecekapan." katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 11:12pm
d