Bola Sepak

Kecederaan Neymar risaukan Brazil

Oleh AFP

Doha: Brazil risau mengenai tahap kecergasan Neymar selepas penyerang sensasi mereka itu cedera buku lali ketika menang 2-0 ke atas Serbia pada aksi Piala Dunia, malam tadi.

Penyerang itu cedera selepas berlaga dengan Nikola Milenkovic pada babak kedua aksi di Qatar.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) berusia 30 tahun itu cuba untuk bermain, tetapi digantikan 10 minit sebelum perlawanan berakhir, tidak lama selepas Richarlison meletakkan Brazil mendahului dua gol.

Neymar dilihat berjalan terhincut-hincut selepas perlawanan dan beberapa gambar menunjukkan buku lali kanannya bengkak.

Dia enggan bercakap dengan wartawan ketika meninggalkan stadium, tetapi memuat naik mesej ringkas di Twitter, tanpa merujuk kepada kecederaan dialaminya.

"Perlawanan sukar, tetapi amat penting untuk menang," katanya.

"Tahniah kepada pasukan, langkah pertama sudah berjaya, ada enam lagi menanti."

Doktor pasukan, Rodrigo Lasmar berkata, terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai kecederaan itu.

"Kami perlu menunggu antara 24 hingga 48 jam untuk membuat penilaian terbaik," kata Lasmar.

"Kami akan membuat penilaian baru, esok dan perlu menunggu. Kami tidak boleh membuat komen tidak jelas mengenai perkara ini."

Jurulatih, Tite yakin Neymar akan mengetuai Brazil mencipta rekod muncul juara Piala Dunia kali keenam dan mereka akan berdepan Switzerland, Isnin ini, sebelum aksi terakhir Kumpulan G bertemu Cameroon.

Disiarkan pada: November 25, 2022 @ 7:51pm
d