Bola Sepak

Jepun hampiri pusingan kalah mati

Oleh Reuters

Doha: Tidak ramai memberi harapan Jepun mampu melepasi kumpulan bersama Jerman dan Sepanyol apabila undian Piala Dunia dibuat, tetapi sekiranya menewaskan Costa Rica, Ahad ini, anak buah Hajime Moriyasu akan mara ke pusingan kalah mati.

Jepun bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan juara dunia empat kali, Jerman, 2-1, pada Rabu lalu, dan akan menentang Costa Rica yang dibelasah 0-7 oleh Sepanyol pada perlawanan pembukaan Kumpulan E.

Bagi jurulatih Costa Rica, Luis Fernando Suarez keutamaannya kini adalah membina semula keyakinan anak buahnya yang terjejas teruk.

"Saya bimbang mental pemain tidak mampu pulih selepas kemerosotan dan keputusan sangat teruk ini," katanya selepas kekalahan itu.

"Secara logiknya, itu adalah perkara pertama yang saya perlu selesaikan."

"Kami perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku, tetapi sebaik saja bercakap mengenainya, kami perlu segera melupakannya."

Bagi melonjakkan pasukannya, jurulatih itu akan menurunkan ramai pemain veteran daripada skuad edisi 2014 apabila mereka layak ke suku akhir selepas mengetuai kumpulan membabitkan England, Itali dan Uruguay.

Perjalanan Jepun dilihat lebih baik selepas melakukan kejutan kedua di Piala Dunia kali ini, selepas menewaskan Jerman 2-1.

Jepun diperkuatkan enam pemain Bundesliga dan seorang lagi beraksi di bahagian dua di Jerman, apabila jaringan pemain Freiburg, Ritsu Doan dan pemain VfL Bochum, Takuma Asano memastikan kemenangan sulung skuad Asia itu ke atas Jerman.

Costa Rica yang baru saja mengalami kekalahan terburuk di Piala Dunia, sudah tidak mampu memberikan ujian besar sama diberikan Jerman terhadap Jepun.

Disiarkan pada: November 25, 2022 @ 9:18pm
d