Bola Sepak

Syukur dapat jaringkan gol - Arif Aiman

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain sayap kanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menzahirkan kesyukuran selepas berjaya menjaringkan gol tunggal buat pasukan itu walaupun tumpas 1-4 kepada Borussia Dortmund pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Jelajah Asia BVB di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Katanya, ia saat yang menggembirakan buat dirinya kerana berjaya menembusi benteng yang diterajui pemain berpengalaman Mats Hummel selain mampu membuat pasukan terbaik di Eropah terkedu seketika sebelum mereka menewaskan skuad Harimau Selatan.

"Sememangnya saya bersyukur apabila berjaya menjaringkan gol dan ia detik tidak boleh dilupakan kerana mampu merobek benteng pasukan terbaik di Eropah.

"Apapun, saya belum berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan kerana masih banyak lagi harus dipelajari dan bukan lagi sempurna malah ada kelemahan yang perlu dipertingkatkan untuk menjadi pemain yang baik.

"Menentang pasukan kelab yang bersaing di Bundesliga memberi pengalaman terbaik buat saya dan rakan sepasukan untuk menimba ilmu dan mereka sudah ada nama di peringkat antarabangsa. Oleh itu saya kena berusaha lagi untuk memajukan diri kerana masih banyak ruang untuk belajar dari aspek teknik permainan," katanya.

Pada aksi persahabatan antarabangsa itu, Arif Aiman berjaya meledak gol pada minit ke-40 selepas berjaya mengatasi Simon Coulibaly sebelum merembat bola leret menewaskan Alexander Meyer namun Borussia Dortmund lebih gah dengan kemenangan 4-1 hasil jaringan Justin Njinmah minit ke-10, Donyell Malen minit ke-31, Ole Pohlmann minit ke-59 dan Samuel Bamba pada minit ke-69.

Arif juga mengakui faktor kepenatan selepas mengharungi aksi final Piala Malaysia menentang Selangor FC, Sabtu lalu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan muncul juara menewaskan The Red Giants 2-1 menjejas rentak permainannya.

Namun dia tetap mahu beraksi menentang kelab ternama dari Eropah memandangkan peluang tidak selalu hadir dan menganggap satu penghormatan buat dirinya dan rakan sepasukan menentang kelab dari Jerman itu yang memilik reputasi tinggi.

"Walaupun saya mengalami kesakitan namun saya ketepikan kesakitan itu kerana mahu beraksi menentang Borussia Dortmund malah dapat belajar cara mengawal bola dengan baik selain tindakan mereka melakukan umpanan di sebelah kiri dan kanan yang begitu sempurna," kata Arif.

Disiarkan pada: November 29, 2022 @ 2:48pm
d