Bola Sepak

Tugas kapten bukan mudah - Faisal

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tanggungjawab selaku ketua pasukan bukanlah perkara harus dibanggakan, sebaliknya ia tugas berat perlu dipikul dengan sebaiknya bagi membantu menyampaikan kehendak jurulatih ketika di padang atau luar padang.

Jelas sayap lincah negara, Faisal Halim, dia mahu membalas semula kepercayaan Kim Pan-gon yang memberi peranan baharu itu kepadanya dengan sebaik mungkin.

"Tanggungjawab diberikan jurulatih (Pan-gon) agak besar, tetapi saya percaya ini bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Tanpa lilitan kapten pun kita perlu sentiasa bantu jurulatih dengan memberi maklumat tepat di padang nanti.

"Cuma, saya tidak mahu fokus diberikan kepada tugas ini, sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada semua pemain cukup bermotivasi untuk mempamerkan prestasi terbaik yang diharapkan pada kempen Piala AFF 2022 nanti.

"Secara keseluruhan, kami sangat bersemangat untuk mewakili nama Malaysia pada saingan kali ini," kata Faisal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Semalam, Pan-gon mengumumkan pelantikan dua lagi ketua pasukan iaitu Faisal dan Brendan Gan yang dilantik selepas Syafiq Ahmad tidak akan bersama pasukan pada kempen kali ini.

Ia menyaksikan kem negara ketika ini mempunyai empat ketua pasukan apabila Safawi Rasid dan Dion Cools kekal memegang lilitan itu selepas dilantik pada saingan Piala Raja Thai, September lalu.

Mengulas mengenai ketiadaan hampir 12 tonggak utama yang menolak panggilan skuad negarakali ini, Faisal melihat ia dari sudut positif dan percaya skuad ini memiliki kekuatan tersendiri.

"Harapan peminat kepada skuad kebangsaan sangat tinggi terutama selepas kita konsisten di pentas antarabangsa sebelum ini.

"Meskipun senarai pemain sudah berubah, saya percaya pemain yang dipanggil memiliki kualiti tersendiri.

"Paling penting kita doa yang terbaik dan balas kepercayaan diberikan jurulatih selain jangan takut dengan kritikan. Kita harus optimis keputusan positif dapat diraih jika laksanakan tugas sebaiknya," katanya.

Malaysia akan menentang Kemboja dan Maldives dalam aksi persahabatan 9 dan 14 Disember ini, dengan kedua-duanya dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Di Piala AFF nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura, dengan aksi pertama dijadual bertandang ke Yangon bertemu Myanmar pada 21 Disember ini.

Ia disusuli aksi menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 Disember) diikuti Vietnam (di Hanoi pada 27 Disember) dan aksi terakhir kumpulan berdepan Singapura (Stadium Nasional Bukit Jalil 3 Januari).

Disiarkan pada: December 1, 2022 @ 7:20pm
d