Bola Sepak

Tiada pasukan kecil, aksi terbaik kumpulan - Infantino

Oleh Reuters

Doha: Presiden FIFA, Gianni Infantino memuji aksi peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar sebagai antara terbaik dan beberapa kejutan serta keluasan geografi pasukan yang mara menunjukkan bahawa bola sepak semakin global.

Bekas juara Argentina, Sepanyol, Jerman dan Brazil kesemua berdepan kekalahan mengejut pada peringkat kumpulan dan Afrika, Asia serta Amerika Utara menjadi wakil 16 terbaik disamping kuasa pasukan tradisi Amerika Selatan dan Eropah.

Infantino berkata perlawanan itu - 'berlangsung dalam stadium yang cantik' - sudahpun berjaya menarik penonton TV sehingga mencecah dua juta tontonan.

"Suasana menarik, jaringan hebat, keterujaan yang luar biasa, kejutan, pasukan kecil menewaskan pasukan besar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan FIFA.

"Sememangnya, tiada lagi pasukan kecil dan tiada lagi pasukan besar. Jurangnya sangat sama.

"Begitu juga buat pertama kali, pasukan kebangsaan dari semua benua mara ke peringkat kalah mati. Ia untuk pertama kali dalam sejarah. Ini menunjukkan bahawa bola sepak benar-benar menjadi global."

Infantino mencadangkan meningkatkan penyertaan dalam saingan Piala Dunia dari 32 pasukan ke 48 bagi edisi akan datang, yang akan diadakan di 16 bandar di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 2026.

FIFA dikritik hebat sebelum ini selepas memberikan hak tuan rumah kepada Qatar kerana dakwaan rasuah dan pencabulan hak asasi manusia.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 8:39pm
d