Bola Sepak

Kalamullah aset terbaru Kedah

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Penjaga gol baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kalamullah Al-Hafiz berazam mahu meneruskan aksi cemerlangnya bagi menghadapi aksi lebih sengit bersama skuad Sang Kenari pada musim 2023.

Menurut penjaga gol dari Kelantan berusia 27 itu, kehadiran ke Kedah dapat membuka ruang lebih tinggi buatnya dalam meningkatkan kemampuan serta pencapaian dalam karier bola sepaknya yang bermula dengan skuad Felda United pada 2017 dan kemudian bersama PJ City FC pada 2019.

"Saya bersyukur dapat bersama Kedah dan saya rasa ini satu pengalaman baru untuk diri dan perkembangan karier saya seterusnya.

"Saya berazam mahu lakukan usaha terbaik bersama Kedah pada musim depan dan sebagai impian individu, saya berazam mahu bersama Kedah ke pentas final saingan Piala FA dan Piala Malaysia pada musim depan.

"Ini kerana saya sendiri pun belum pernah berasakan pengalaman berada di pentas akhir, dan ini meningkatkan lagi azam saya kerana Kedah adalah pasukan yang memilki nama besar.

"InsyaAllah dengan jurulatih baharu Nafuzi Zain dan pemain yang akan disenaraikan Kedah mampu menggalas cabaran musim 2023 dengan baik," katanya.

Kalamullah juga turut bersaing bagi kategori Penjaga Gol Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) di mana namanya turut tercalon bersama penjaga gol Negeri Sembilan Ahmad Syihan Hazmi dan dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC).

Namanya turut berada dalam senarai empat penjaga gol dalam kem latihan pusat Harimau Malaya untuk persiapan saingan Piala AFF 2022.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 2:35pm
d