Bola Sepak

Pakai jersi Kedah disangka sokong LGBT

Kuala Lumpur: Di sebalik kehangatan Piala Dunia di Qatar yang semakin menghampiri kemuncak, berlaku salah faham apabila seorang penyokong Malaysia dilarang memasuki stadium kerana jersi yang dipakainya disyaki mempunyai unsur-unsur promosi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Zulfadli Ahmad Tajuddin, penyokong yang datang dari Johor itu ditahan hampir setengah jam untuk disiasat selepas jersi berpetak warna-warni itu menimbulkan keraguan pihak keselataman di pintu masuk stadium kerana disyaki mempunyai unsur-unsur warna pengamal LGBT.

Fahaman dan promosi LGBT buat pertama kalinya dilarang di Piala Dunia apabila kerajaan Qatar bertegas menghalang serta mengharamkan sebarang fahaman atau unsur promosi golongan songsang itu.

Zulfadli yang memakai jersi pasukan bola sepak Kedah yang mempunyai corak berpetak warna-warni berkata, dia ditahan hampir setengah jam di pintu masuk Stadium Al-Byat sementara menantikan pihak keselamatan mendapatkan maklumat mengenainya.

"Saya terpaksa google dan menunjukkan gambar jersi ini sebenarnya adalah jersi rasmi sebuah pasukan bola sepak di Malaysia," dedahnya ketika ditemubual dalam program Dari Tepi Padang bersama pengulas sukan tanahair, Datuk Jasni Shafie di Qatar.

Menurutnya, selepas melihat gambar itu dan pegawai atasan keselamatan stadium berpuas hati, barulah dia dibenarkan memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan.

Ditanya oleh Jasni mengenai perasaannya ketika itu, beliau berkata: "Saya cemas dan sudah mula membayangkan akan kecewa amat sangat kalau tak dibenarkan masuk. Saya difahamkan bahawa mengamalkan seks songsang (LGBT) di Qatar adalah dilarang sama sekali dan boleh dipenjara," katanya.

Pengalaman menarik Zulfadli itu boleh diikuti dalam program Dari Tepi Padang yang bersiaran di facebook dan youtube. Peminat boleh melayari program ini di https://fb.watch/hnEJnKvY0u/

Program Dari Tepi Padang ini menampilkan hos Jasni yang bersiaran secara langsung dari Malaysia dan Qatar dengan membawakan pelbagai cerita di balik tabir sebagai infomasi kepada peminat bola sepak tanahair.

Ia juga menawarkan hadiah melalui kuiz bola sepak dengan hadiah bonanza pakej percuma menonton perlawanan Manchester United di Old Trafford.

Disiarkan pada: December 13, 2022 @ 12:50pm
d