Bola Sepak

Nasib Mintah bersama TFC belum dipastikan

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali baharu Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner belum membuat keputusan sama ada bakal menggunakan khidmat bekas penyerang import Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah atau memberi pinjaman kepada pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Jurulatih kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu berkata, beliau akan meneliti kesesuaian pemain kelahiran Ghana itu di posisi berkenaan dengan penyerang baharu yang akan dibawa nanti.

"Saya sedang berusaha untuk membawa masuk penyerang baharu dari Croatia bagi menggantikan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

"Jadi, sama ada dia (Mintah) kekal atau akan diberi pinjaman kepada pasukan lain musim depan belum dimuktamadkan lagi.

"Ini kerana saya mahu melihat kesesuaian dan pemain yang bakal menggalas tugas di posisi berkenaan itu perlu berkualiti lebih-lebih lagi TFC bakal beraksi di Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan," katanya.

Musim ini, penyerang berusia 27 tahun itu dipinjamkan kepada pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada jendela kedua perpindahan pemain pada Jun lalu ketika dia berada di puncak prestasi bersama pasukan TFC II bawah kendalian Badrul Afzan Razali.

Keputusannya bersama skuad The City Boys kendalian Bojan Hodak berbaloi apabila pasukan itu melangkah ke pentas final Piala AFC musim ini sebelum tumpas 0-3 di tangan kelab Oman, Al Seeb pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain pernah berguru bersama Akademi Bolasepak Marseille, Perancis itu mula menyarung jersi pasukan TFC II sejak 2020 di bawah kendalian Roshadi Wahab sebelum muncul penjaring terbanyak Liga Perdana dengan meledak 16 gol.

Kontrak pemain itu bersama Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd akan berakhir pada penghujung November 2023.

Difahamkan antara pasukan Liga Super yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebagai pemain pinjaman adalah kelab jiran, Sri Pahang FC yang juga hampir pasti mengikat Sherman.

Disiarkan pada: December 13, 2022 @ 9:35pm
d