Bola Sepak

Situasi Khuzaimi cetus persoalan

Oleh Firdaus Hashim

Dari Yangon, Myanmar

Adakah skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat tonggak pertahanan, Khuzaimi Piee sepanjang saingan Piala AFF kali ini?

Itu persoalan yang timbul susulan keadaan Khuzaimi yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan selepas aksi menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, malam tadi.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro di sini, tonggak baharu Selangor FC itu dilihat bertongkat ketika mahu menaiki bas pasukan sejurus tamat aksi itu malam tadi.

Malah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon juga kelihatan bekas pemain Negeri Sembilan itu menggunakan tongkat untuk menaiki pesawat pulang ke tanahair pagi ini.

Jurulatih negara, Kim Pan-gon yang ditemui pada sidang media selepas perlawanan malam tadi mengakui akan memantau tahap kecederaan pemain bertocang itu dan cuba mendapatkan maklumat terkini daripada pegawai perubatan.

Begitupun sehingga kini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi berkenaan tahap kecederaan pemain kelahiran Melaka itu.

Dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Piala AFF itu, skuad negara mulakan kempen dengan langkah kanan apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas Myanmar.

Gol tunggal pasukan negara dijaringkan Faisal Halim di minit ke-52 selepas dia memanfaatkan lorongan Safawi Rasid.

Bagaimanapun kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila Khuzaimi mengalami kecederaan dan digantikan dengan Fazly Mazlan yang bertindak cemerlang mengemudi tembok pertahanan negara hingga wisel penamat.

Disiarkan pada: December 22, 2022 @ 1:27pm
d