Bola Sepak

Dua kelab Eropah intai Luqman

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Perbincangan dah memasuki 60 peratus dan jika semua pihak bersetuju dia akan dipinjamkan."

Demikian kata Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk (KVK), Amin Fuad kepada Arena Metro secara eksklusif apabila penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin bakal dipinjamkan ke salah satu kelab di Liga Eropah pada jendela perpindahan kedua Januari ini.

Jelas Amin, terdapat dua kelab Eropah cukup berminat untuk mendapatkan khidmat Luqman selepas terpikat melihat aksinya bersama skuad bawah 21 (B-21) KVK di Belgium serta aksinya dengan skuad kebangsaan sebelum ini.

Katanya, tempoh pinjaman berkenaan dijangka semusim dengan Luqman sendiri bersedia menyahut cabaran baharu yang dijangka mampu meningkatkan lagi prestasi pemain muda berusia 20 tahun itu.

"KVK amat berpuas hati dengan peningkatan di tunjukkan Luqman bersama skuad B-21, di mana dia kini dianggap tonggak utama serta beberapa kali berjaya tersenarai dalam skuad senior KVK.

"Disebabkan prestasi yang baik itu terutama dengan B-21, terdapat dua kelab di Eropah ketika ini yang mahukan khidmat Luqman untuk bermain dalam skuad utama kelab terbabit.

"Saya tak boleh dedahkan nama kelab itu lagi kerana perbincangan masih berlangsung, dan InsyaAllah jika semua berjalan lancar dia akan ke sana. Luqman juga bersedia dan mahu mengorak langkah," katanya kepada Arena Metro.

Ujarnya lagi, salah satu kelab daripada dua itu mahu menjadikannya tonggak utama pasukan dalam kesebelasan utama.

"Kelab merasakan dia sedang menjalani latihan baik bersama pasukan. KVK menyokong jika Luqman ingin kekal bersama KVK atau jika mahu mencari minit yang lebih bersama kelab lain, katanya.

Perkembangan terbaharu itu semestinya membawa khabar gembira buat peminat bola sepak tempatan apabila graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) terus kekal beraksi di bumi Eropah.

Dia yang mula menyertai KVK pada musim 2020 semakin menyerlah bersama skuad B-21 kelab itu dan sering diturunkan dalam kesebelasan utama.

Aksi baiknya berjaya memikat pengurus kelab, Bernd Storck yang menyenaraikan namanya dalam skuad utama.

Baru-baru ini, Luqman diturunkan dalam peringkat 16 pasukan terakhir Piala Belgium menentang OH Leuven, di mana dia masuk pada minit ke-89 bagi menggantikan Faïz Selemani di bahagian serangan. Dalam aksi itu, KVK menang 3-1.

Disiarkan pada: December 24, 2022 @ 7:33pm
d