Bola Sepak

Cheng Hoe teruja aksi Mickey

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui cukup teruja dengan persembahan ditampilkan pemain baharunya, Faisal Halim yang ketika ini bersama skuad Harimau Malaya.

Menurut Cheng Hoe, beliau yakin keputusannya dan pihak pengurusan membawa masuk Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey ke skuad Gergasi Merah dilihat akan memberi nilai tambah kepada barisan serangan.

Ini kerana jelas beliau, pemain berusia 25 tahun itu bukan sahaja mampu bermain di posisi sayap malah dapat menjalankan tugas dengan baik sebagai seorang penyerang.

"Kalau lihat prestasi semasa Faisal Halim, memang salah satu pemain tempatan yang menonjol. Dari segi persembahan memang dia konsisten bukan sahaja dari segi pergerakan namun mampu untuk menjaringkan gol.

"Sebab bagi saya, sesebuah pasukan perlu ada bukan sahaja pemain yang boleh jaringkan gol tetapi yang boleh jadi ball winner dan Faisal ada kriteria itu.

"Saya berharap kemasukan Faisal Halim ke Selangor memang boleh bantu pasukan, dari segi keyakinan beliau nampak menyerlah terutama pada musim ini," katanya kepada Arena Metro.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan kemungkinan ada pertambahan pemain yang akan dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan pada musim hadapan, Cheng Hoe mengambil pendekatan mengunci mulut.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Kedah itu memberitahu, setakat ini beliau berpuas hati dengan muka baharu dibawa pihak pengurusan yang disifatkan bakal memberi nilai tambah kepada pasukan.

"Setahu saya setakat ini, kami baru tandatangani tiga pemain. Yang lain saya tidak dapat apa-apa berita. Saya berpuas hati dengan pemain yang kita tandatangani seperti Khuzaimi dan Ruventhiran.

"Seperti kita tahu Khuzaimi mempunyai pengalaman luas beraksi di Liga Malaysia dan ia sudah tentu bagi nilai tambah kepada kami. Untuk Ruventhiran pula dia pemain muda meningkat baik. Jadi dia akan beri opsyen kepada kami untuk memilih siapa yang terbaik di posisinya,"ujarnya.

Sebelum ini skuad Merah Kuning itu dikhabarkan sedang mengintai khidmat pemain sayap Syria, Mahmoud Al-Mawas yang kini beraksi bersama pasukan Liga Perdana Iraq yang berpangkalan di Rusafa, Baghdad, Al-Shorta.

Mahmoud bukanlah pemain yang biasa-biasa memandangkan sebelum ini pernah menggondol gelaran Kasut Emas dengan 22 gol semasa membantu Al-Shorta menjulang Liga Perdana Iraq musim 2021-2022.

Disiarkan pada: December 26, 2022 @ 8:33pm
d