Bola Sepak

Ingreso kekal bersama Sri Pahang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain import dari Filipina, Kevin Ingreso kekal bersama Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sumber Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) berkata, khidmat pemain tengah itu masih menjadi taruhan skuad Tok Gajah.

"SPFC masih berminat dengan Ingreso berdasarkan prestasi yang dipersembahkan sepanjang musim lalu walaupun menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua pemain.

"Diharapkan pemain ini dapat mempamerkan aksi lebih baik untuk membantu pasukan mencatat pencapaian membanggakan musim ini," kata sumber itu.

Ketika ini, hanya Ingreso iaitu pemain import yang sudah turun menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah.

Namun, kedudukan pemain import lain masih belum disahkan kecuali SPFC mengesahkan khidmat penjaga gol kebangsaan Mali, Mamadou Samassa dan penyerang Colombia, Steven Rodriguez tidak lagi bersama kelab itu.

Manakala sama ada Sherzod Fayziev dari Uzbekistan dan Manuel Hidalgo (Argentina) kekal bersama skuad Tok Gajah juga belum dapat diketahui.

Difahamkan, pengumuman rasmi barisan kejurulatihan dan pemain termasuk import baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Namun, peminat Tok Gajah kini hanya menunggu pengumuman rasmi pemain baharu yang akan menyarung jersi skuad itu.

Dalam saingan Liga Super musim lalu, Sri Pahang menamatkan kedudukan di tempat ketujuh manakala terkandas pada pusingan awal Piala Malaysia.

Disiarkan pada: January 3, 2023 @ 10:04pm
d