Bola Sepak

Ronaldo tak sabar perkasa Al Nassr

Oleh Reuters

Riyadh: Kapten Portugal Cristiano Ronaldo berkata, tugasnya di Eropah sudah selesai dan sangat teruja dengan cabaran baharu di dalam mahupun di luar padang selepas diperkenalkan sebagai pemain kelab Arab Saudi, Al Nassr semalam.

Ronaldo yang menjadi ejen bebas selepas berpisah dengan Manchester United pada November menyertai Al Nassr minggu lalu dengan kontrak 2-1/2 tahun bernilai lebih 200 juta euro (RMRM929 juta).

Dia tiba di Arab Saudi dengan pelbagai koleksi kejuaraan ketika bersama gergasi Sepanyol Real Madrid (2009-2018) menerusi dua gelaran La Liga, dua Piala Sepanyol, empat Liga Juara-Juara dan tiga Piala Kelab Dunia.

Ronaldo turut menjulang dua gelaran Serie A dan trofi Copa Italia ketika tiga tahun di Juventus sebelum kembali semula ke United yang pernah menyaksikan dia meraih tiga gelaran Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA, dua Piala Liga, Liga Juara-Juara dan Piala Kelab Dunia.

"Saya sangat bangga membuat keputusan besar seperti ini dalam kehidupan saya. Di Eropah tugas saya sudah selesai," kata Ronaldo dalam sidang medianya.

"Saya menang segalanya. Saya bermain dengan banyak kelab utama di Eropah dan kini cabaran baharu menanti di Asia."

Menurut Ronaldo, dia menerima tawaran dari seluruh dunia selepas meninggalkan United tetapi memilih Al Nassr kerana perpindahan itu memberinya peluang untuk mencipta impak di atas padang.

"Saya berterima kasih kepada Al Nassr yang memberikan saya peluang membantu mengembangkan bola sepak kepada generasi muda dan juga wanita. Bagi saya ia adalah cabaran tetapi saya juga sangat gembira dan bangga," kata Ronaldo.

"Saya mempunyai banyak peluang di Eropah, Brazil, Australia dan Amerika Syarikat tetapi saya memilih kelab ini dan membantu memajukan bola sepak malah bahagian lain di negara ini."

Pemain berusia 37 tahun itu ketika ditanya mengenai kritikan dengan keputusan berpindah ke Arab Saudi, dia berkata: "Saya pemain yang unik, ia normal."

Jurulatih Al Nassr, Rudi Garcia berkata menandatangani Ronaldo adalah langkah besar kepada Liga Arab Saudi.

"Dalam hidup saya, saya melihat pemain hebat seperti Cristiano mudah dikendalikan kerana tiada apa yang perlu saya ajar dia," kata Garcia kepada wartawan.

"Seperti yang dia kata, kami ke sini untuk menang. Tiada yang lain. Saya mahu dia nikmati aksi dan menang dengan Al Nassr, itu sahaja."

Disiarkan pada: January 4, 2023 @ 7:22am
d