Bola Sepak

Kemelut Faisal, TFC berakhir

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Sengketa antara tonggak baharu Selangor, Faisal Halim bersama bekas majikannya Terengganu FC sudah dianggap selesai.

Ia selepas pemain berusia 24 tahun itu memuat naik permohonan maaf di akaun Twitternya pagi tadi sambil memberitahu kelab berpangkalan di timur tanah air itu sudah melangsaikan baki gajinya.

"Saya memohon maaf di atas semua kekhilafan dan salah faham yang berlaku di antara saya dan pihak Terengganu FC serta penyokong saya di bumi Terengganu Darul Iman.

"Setiap kebaikan datang dari Allah SWT dan kekhilafan datang dari saya sendiri. TFC telah jelas baki gaji saya," tulisnya.

Dalam ciapan tersebut juga, Faisal turut memuatnaik gambar dia bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif (COO) TFC Mohd Sabri Abas sebagai tanda kemelut tersebut sudah berakhir.

Sebelum ini, Faisal meluahkan rasa kecewanya terhadap TFC apabila memuatnaik status di Twitter tentang menuntut hak dirinya sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Ia kemudiannya disusuli pendedahan dakwaan TFC memotong gaji bekas pemain Sri Pahang itu tanpa notis.

Disiarkan pada: January 4, 2023 @ 2:46pm
d