Bola Sepak

Selvan sedia bergandingan dengan Eky

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC), A Selvan sedia membentuk persefahaman mantap bersama Shahrel Fikri Mohd Fauzi dalam misi menjulang nama pasukan itu pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu yang dikekalkan bersama skuad Hobin Jang Hobin bagi mengharungi musim baharu ini, mengalu-alukan kehadiran Shahrel Fikri atau mesra dipanggil Eky dalam pasukan itu.

Menurutnya, dia berazam untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik pada musim ini dalam memastikan Negeri Sembilan tampil lebih berwibawa menghadapi cabaran Liga M.

"Saya dapat merasakan kehadiran Shahrel Fikri yang juga bekas penyerang kebangsaan bakal memberi impak yang positif kepada kekuatan pasukan khususnya di bahagian serangan.

"Sebagai pemain muda yang dahagakan pengalaman, saya akan gunakan peluang yang ada untuk mencapai prestasi terbaik dan sedia membentuk kerjasama serta persefahaman mantap bersama Shahrel.

"Saya yakin dan percaya, Shahrel dan pemain lain termasuk Mahali Jasuli mempunyai matlamat yang sama untuk membina kekuatan pasukan yang mantap sebagai persiapan mengharungi cabaran musim ini," katanya di sini, hari ini.

Selvan adalah pemain muda yang diketengahkan menerusi program pembangunan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan mula menyertai skuad senior sejak 2021.

Musim lalu, pemain lincah kelahiran Seremban ini memperagakan aksi mantap dan berjaya memainkan peranan efektif dalam membantu jentera serangan setiap kali dia diturunkan dalam perlawanan walaupun sebagai pemain gantian.

Pemain skuad Bawah 23 Tahun Kebangsaan ini akui, pengalaman bersama skuad senior selama dua musim membuatkan dia lebih yakin dengan dirinya untuk menggalas tugas dengan baik di bahagian serangan.

"Dengan kehadiran Shahrel Fikri dan Mahali (Jasuli) serta Sean Eugene Selvaraj, akan memberi ruang yang lebih luas kepada saya untuk membina karektor sendiri dan mencapa tahap prestasi yang lebih tinggi.

"Misi saya pada musim baharu ini nanti adalah untuk menjaringkan gol selepas tidak dapat berbuat demikian musim lalu," katanya yang memperbaharui kontrak bersama NSFC semusim lagi.

Disiarkan pada: January 4, 2023 @ 8:09pm
d