Bola Sepak

Safawi yakin ramuan Pan-gon atasi Thailand

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada 'kelicikan' pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon supaya Thailand menjadi mangsa seterusnya pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Menyedari barisan skuad Gajah Putih cukup sukar dijinakkan, Safawi berkata, Pan-gon sudah pasti ada ramuannya yang berkesan untuk pastikan Malaysia membawa bekalan selesa apabila beraksi pada separuh akhir kedua di Thailand, Selasa depan.

Katanya, barisan pemain ketika ini bersemangat untuk teruskan rentak kemenangan di hadapan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya di SNBJ.

Malah, dia mahu skuad Harimau Malaya tidak lagi bergantung kepada nasib semata-mata untuk menundukkan Thailand seperti yang terjadi pada Piala AFF 2018.

"Pada 2018, kami bernasib baik di separuh akhir apabila pemain Thailand gagal menjaringkan gol ketika mereka dihadiahkan sepakan penalti.

"Namun, kali ini, kami tampil dengan situasi berbeza apabila jurulatih dan pemain akan mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan mampu meraih bekalan selesa ke Thailand.

"Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada jurulatih yang sudah tentu mempunyai strategi dan idea untuk menumpaskan Thailand," katanya.

Selain itu, Safawi yang akan beraksi bersama kelab Liga 1 Thai, Ratchaburi FC berharap aura puluhan ribu penyokong Harimau Malaya terus menjadi tonik untuk pasukan kebangsaan meraih kejayaan.

Dia turut berterima kasih kepada penyokong Harimau Malaya yang sanggup berkorban dan hadir ke stadium pada hari bekerja ketika menumpaskan Singapura 4-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Selasa lalu.

Disiarkan pada: January 5, 2023 @ 6:22pm
d