Bola Sepak

Kogileswaran dirisik tiga kelab luar

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas penyerang Petaling Jaya City FC (PJ City), R Kogileswaran sedia menyahut cabaran lebih getir apabila sedang dirisik oleh tiga pasukan yang berpengkalan di luar negara ketika ini.

Jelas Kogileswaran atau lebih dikenali dengan panggilan Kogi, dia kini sedang mempertimbangkan tawaran daripada tiga kelab luar.

"Ada tiga kelab luar tawarkan tempat dalam pasukan dan saya tengah pertimbangkan peluang itu.

"Mungkin dalam dua ke tiga hari lagi saya atau kelab baharu itu akan buat pengumuman. Tapi biarlah majikan baharu yang umumkan, tapi buat masa ini saya masih belum buat keputusan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Difahamkan terdapat beberapa kelab termasuk dari Korea Selatan berminat untuk mendapatkan sentuhan bekas penyerang PJ City itu.

Selain cukup menyerlah dalam saingan Liga Malaysia, Kogileswaran juga sudah membuat lapan penampilan bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa dengan meledak dua gol.

Jika semuanya berjalan dengan lancar, dia yang memiliki pertalian saudara dengan bintang muda sensasi negara pada awal 2000 lalu, Titus James Palani bakal muncul pemain seterusnya melebarkan sayap di luar selepas Luqman Hakim Shamsudin di KV Kortrijk di Belgium, Hadi Fayyadh Abdul Razak di Azul Claro Numazu (Jepun), Dion Cools di Buriram United (Thailand) dan ramai lagi.

Disiarkan pada: January 9, 2023 @ 7:47pm
d