Bola Sepak

JDT sasar mara lebih jauh di ACL

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Gergasi bola sepak tempatan Johor Darul Ta'zim (JDT) berazam untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini selepas tampil cemerlang dengan mara ke pusingan 16 terbaik pada musim lalu.

Bagi memastikan misi itu berjaya, pelantikan jurulatih baharu dari Argentina, Esteban Solari diyakini mampu melonjakkan lagi prestasi skuad Harimau Selatan ke tahap lebih tinggi terutama dalam saingan ACL.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards, kehadiran penolong jurulatih pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Argentina itu pastinya memberi variasi baru dan kesegaran dalam corak permainan pasukan musim ini.

"Sasaran kami biasanya mahu mencapai tahap tertinggi, di mana ia sudah dibuktikan sejak beberapa tahun lalu, dari tahun ke tahun.

"Kami melepasi (peringkat Kumpulan ACL) di tempat kami sendiri di Johor untuk layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik), namun di peringkat berikutnya kami tidak berjaya.

"Kini kami mahu cuba melakukannya lagi dan berharap dapat lepasinya," katanya pada malam Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro, pada minggu lalu yang menyaksikan JDT dinobatkan sebagai Persatuan/Kelab Terbaik dalam anugerah berprestij itu.

Pada saingan ACL musim lalu, JDT buat pertama kalinya melepasti peringkat kumpulan dan melayakkan diri ke pusingan kedua kejohanan tertinggi kelab-kelab Asia itu.

Begitupun, harapan untuk melihat wakil negara itu mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila tumbang 0-5 di tangan kelab Jepun, Urawa Red Diamonds.

"Di JDT kami sentiasa ambil cabaran dari sudut positif kerana TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) sentiasa mahukan terbaik buat kelab dan itu inspirasi pemilik kami.

"Jadi latihan pramusim di Dubai adalah persiapan terbaik kami sebelum saingan Liga Malaysia bermula. Kami mahu terus mendominasi saingan tempatan dan melangkah sejauh mungkin dalam ACL," kata Alistair.

Disiarkan pada: January 14, 2023 @ 2:35pm
d