Bola Sepak

Empat bekas pemain PJ City perkuat NSFC

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Empat bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC antara beberapa muka baru yang dibawa masuk kelab bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Mereka ialah pemain serba boleh berpengalaman, Mahali Jasuli selain pemain pertahanan, R Aroon Kumar, R Barathkumar dan Zainal Abidin Jamil.Selain PJ City, Mahali juga pernah beraksi bersama Selangor FC, Johor Darul Ta[zim (JDT) dan PKNS FC.

Pemain lincah ini mampu beraksi di posisi pertahanan kanan, tengah dan juga penyerang.

Dia dijangka bakal menjadi aset kepada skuad bimbingan K Devan itu yang mengidamkan pencapaian lebih baik pada musim ini selepas berjaya menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super musim lalu.

Sementara itu, Aroon Kumar mahu kembali menyinar dan meneruskan sumbangan terbaik kepada pasukan negeri kelahirannya seperti pernah dipamerkan pada musim 2021 dengan membantu Negeri Sembilan menjuarai Liga Perdana.

"Saya tidak berfikir panjang apabila Negeri Sembilan mahu menerima saya sebaik mendapat tahu PJ City tidak lagi meneruskan perjuangan pada musim baharu ini.

"Panggilan dan penerimaan itu adalah peluang terbaik untuk kembali bersama pasukan ini yang sebelum ini pernah menaikkan nama saya sejak memulakan karier bola sepak pada 2015.

"Saya berazam untuk membantu meletakkan Negeri Sembilan selaku pencabar terkuat dalam saingan mahupun Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini," katanya di sini, hari ini.

Aroon akui semakin serasi dengan rakan-rakan dalam pasukan itu sejak memulakan latihan pada awal bulan lalu dan yakin melalui gabungan pemain berpengalaman akan memberi impak positif terhadap kekuatan pasukan untuk bersaing dengan baik.

Sementara itu, bekas pemain JDT dan Melaka United, Mohamad Hasbullah Abu Bakar serta bekas pemain Sabah FC, Tommy Mawat Bada masing-masing antara pemain terbaharu yang menyertai skuad berkenaan.

NSFC dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pemain berusia 28 dan 27 tahun itu bakal memperkuatkan bahagian tengah dan pertahanan pasukan terbabit.

"Kedua-dua pemain ini mempunyai pengalaman luas di pentas saingan liga tempatan dan yakin mereka berupaya menggalas amanah yang diharapkan terhadap pasukan," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2023 @ 3:45pm
d