Bola Sepak

Shaktar derma RM107.9j yuran Mudryk kepada mangsa perang

Oleh AFP

Paris: Kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk yang selesai menjual Mykhailo Mudryk kepada Chelsea, hujung minggu lalu, berikrar untuk menghadiahkan sejumlah yuran itu kepada mangsa peperangan dan serangan Rusia.

Perpindahan Mudryk itu bernilai 100 juta euros (RM467.50 juta) dengan bayaran permulaan 70 juta euros (RM327.25 juta) manakala baki 30 juta euros (RM140.25 juta) berkaitan prestasi dan penambahan lain.

"Saya memperuntukkan AS$25 juta (RM107.9 juta) daripada yuran itu untuk membantu tentera, barisan pertahanan dan keluarga mereka," kata Presiden Shakhtar, Rinat Akhmetov dalam kenyataan.

"Wang itu akan digunakan untuk pelbagai situasi seperti membeli ubat-ubatan sehinggalah kepada anggota badan palsu dan sokongan psikologi yang bersesuaian."

Projek Akhmetov iaitu 'Heart of Azovstal' dinamakan selepas kerja pembinaan di bandar pelabuhan Mariupol di tenggara Ukraine yang bertahan selama beberapa minggu selepas serangan berterusan tentera Rusia pada musim luruh 2022, sebelum akhirnya berjaya ditawan.

"Keberanian mereka sukar ditandingi dalam sejarah moden," kata Akhmetov.

Akhmetov berkata, dia gembira dan bangga dengan Mykhaylo yang kini akan bermain untuk Chelsea.

"Saya yakin seluruh Eropah akan memuji serta bangga dengan permainan cemerlang dan bijak dipamerkan Mykhaylo.

"Pada masa sama, saya tidak pernah berahsia dengan impian untuk memenang trofi Eropah.

"Ini bermakna pemain seperti Mudryk sepatutnya dijemput bersama kelab kami dan kami perlu menang gelaran Eropah dengan pemain seperti itu, berbanding melepaskan mereka kepada kelab utama dunia."

Disiarkan pada: January 17, 2023 @ 8:53am
d