Bola Sepak

United enggan lepaskan Maguire

Oleh Agensi

London: West Ham gagal mendapatkan Harry Maguire secara pinjaman dari Manchester United selepas Red Devils menegaskan pemain itu tidak akan meninggalkan Old Trafford.

Masa depan Maguire di United tidak menentu selepas kapten itu tidak lagi menjadi pilihan pertama di bahagian pertahanan tengah.

Erik ten Hag lebih memilih Raphael Varane dan Lisandro Martinez berbanding pemain berusia 29 tahun itu.

West Ham yang menduduki tangga ke-18 dengan 15 mata hanya dipisahkan dengan tangga tercorot Liga Perdana (EPL) berdasarkan perbezaan gol mahu mendapatkan Maguire secara pinjaman namun ditolak United hari ini.

Hammers berharap kontrak dapat ditandatangani susulan kejayaan mendapatkan Jesse Lingard secara pinjaman dari United dua tahun lalu.

Bagaimanapun, United yang semakin cemerlang berkata tidak, malah Ten Hag mahu mengekalkan Maguire sehingga tamat musim ini.

Dengan United yang kini bersaing dalam tiga kejohanan saingan piala dan menyinar di EPL, pengendali dari Belanda itu percaya Maguire masih mampu memainkan peranan penting dalam banyak lagi perlawanan.

Maguire tampil 15 perlawanan bersama United setakat musim ini tetapi hanya tujuh kali beraksi dalam kesebelasan utama.

Disiarkan pada: January 18, 2023 @ 9:53pm
d