Bola Sepak

Aguero, Rowley kekal milik Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Dua pemain Harimau Malaya, Sergio Aguero dan David Rowley kekal menyarung jersi Sri Pahang FC musim ini.

Menerusi hantaran di Facebook (FB) rasmi Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) hari ini, Aguero yang juga pemain naturalisasi akan mengetuai jentera serangan skuad Tok Gajah.

"Pemain naturalisasi dari Argentina ini menandatangani lanjutan kontrak untuk kekal di Darul Makmur. Aguero mahu menulis skrip baru dalam kariernya setelah terlepas keseluruhan musim 2022 dengan membawa bersama semangat baru.

"Aguero bersedia membuktikan sentuhan seterusnya membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dan pengurusan yang membantu mendapatkan kerakyatan buatnya," katanya.

Berdasarkan rekod, Aguero menyertai Tok Gajah sejak 2021 tetapi dipinjamkan kepada Perak FC.

Musim lalu, penyerang berusia 29 tahun itu hanya sempat beraksi dua perlawanan ketika berdepan Terengganu FC (TFC) pada pusingan awal Piala Malaysia.

Ini kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hanya membenarkan Aguero beraksi pada saingan Piala Malaysia selepas lulus sebagai pemain tempatan.

Dengan 18 penampilan keseluruhan musim lalu, Rowley yang juga pemain tengah meletakkan diri antara pemain penting pada musim pertamanya bersama SPFC.

"Rowley komited untuk terus berbakti bersama SPFC setelah menandatangani kontrak baru dengan tekad memacu kelab ke aras lebih baik," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2023 @ 10:05pm
d