Bola Sepak

KDA FC asah taring di Turki

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persiapan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjelang saingan Liga Malaysia cukup mantap apabila pasukan itu dijadual mengasah taring di Turki.

Perkara itu disahkan pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang mengatur empat aksi pramusim di negara Eropah itu.

"Celebrate kejayaan KDA (menang 2-0 ke atas Kelantan FC dalam aksi persahabatan) seorang diri sambil memikir rancangan KDA FC bermain empat perlawanan di Turki tak lama lagi. Mendebarkan," tulisnya di laman sosial miliknya.

Begitupun lawan yang akan ditemui masih dirahsiakan Daud.

Apapun perancangan ke Turki itu dilihat cukup baik dalam menyiapkan skuad kendalian Nafuzi Zain sebelum sepak mula Liga Malaysia pada hujung Februari depan.

Selain KDA FC ke Turki, beberapa pasukan lain turut 'berguru' di luar negara antaranya JDT yang akan ke Dubai.

Manakala, Selangor FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan beberapa lagi memilih Thailand sebagai destinasi pramusim masing-masing.

Kelantan FC antara pasukan terawal ke luar negara apabila berentap menentang gergasi kelab Thailand, Buriram United minggu lalu yang menyaksikan wakil negara itu tumbang 7-0 dalam aksi Asean Charity Shield di Songkhla.

Disiarkan pada: January 22, 2023 @ 3:30pm
d