Bola Sepak

Kalamullah mahu lonjak nama bersama Sang Kenari

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz yakin peluang terbaik dimilikinya bersama Sang Kenari musim ini mampu terus melonjakkan namanya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menurut penjaga gawang berusia 27 tahun dari Kelantan itu, tersenarai sebagai antara penjaga gol Harimau Malaya pada aksi kejohanan bola sepak tertinggi zon Asia Tenggara Piala AFF yang lalu menjadi motivasi dan bekalan terbaiknya untuk terus mengukir namanya bersama Sang Kenari.

"Azam saya apabila di sini (Kedah) adalah untuk membina nama dan juga membantu Sang Kenari mendapatkan seberapa banyak kejayaan pada musim ini dan ia adalah peluang yang tidak harus saya lepaskan selepas mendapat motivasi berharga bersama barisan pemain Harimau Malaya baru-baru ini.

"Apabila bersama pasukan dengan nama besar seperti Kedah ini, saya mahu berikan apa yang ada daripada diri saya kerana pasukan Kedah ini saya anggap sebuah pasukan terbaik buat saya," katanya.

Kalamullah juga berkata selain mendapatkan prestasi terbaik bersama KDA FC dalam saingan musim 2023 ini, dia juga mahu memastikan tempatnya dalam senarai barisan pemain kebangsaan dapat dikekalkan lagi selepas ini.

"Saya juga mahu memastikan kedudukan saya dalam pasukan kebangsaan dapat dikekalkan dan oleh itu saya perlu terus berusaha lebih gigih bagi mencapai tahap dan prestasi yang terbaik dalam saingan Liga M musim ini bersama Kedah yang merupakan tiket untuk melayakkan saya berada dalam senarai panggilan skuad kebangsaan.

"Oleh itu, saya perlu manfaatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada

ketua jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin dan pembantu jurulatih, Abdul Hadi Hamid dengan fokus yang tinggi bagi memastikan misi saya bersama Sang Kenari dan panggilan skuad kebangsaan tercapai.

"Saya pernah mendapat bimbingan daripada jurulatih berpengalaman, Mohd Yazid sewaktu bersama Felda United pada 2017 hingga 2018 sebelum ini dan ini turut memudahkan persefahaman dalam latihan apabila kembali berada di bawah corak latihan yang dia jalankan," katanya.

Selain Kalamullah, KDA FC juga diperkasakan penjaga gawang berpengalaman Kedah, Ifwat Akmal dan juga bekas pemjaga gol Kelantan United, Fikri Che Soh.

Disiarkan pada: January 22, 2023 @ 4:29pm
d