Bola Sepak

Saham Juventus jatuh merudum

Oleh Reuters

Milan: Saham Juventus jatuh kira-kira 10 peratus hari ini selepas pihak berkuasa bola sepak Itali menolak 15 mata kelab itu berhubung tindakan urusan perpindahannya sekali gus menjejaskan reputasi mereka.

Juventus, yang sudah memenangi liga Itali lebih banyak berbanding kelab lain, kini menduduki tangga kesembilan dalam kedudukan Serie A dan berdepan kesukaran untuk melayakkan diri ke pentas Liga Juara-Juara.

Juventus seri 3-3 dengan Atalanta di Turin awal pagi tadi pada perlawanan pertama mereka sejak dikenakan hukuman itu.

Kelab itu berkata, mereka akan menunggu alasan kepada keputusan itu, yang dijangka diketahui pada akhir bulan ini, namun kelab sudah bercadang untuk mengemukakan rayuan ke mahkamah sukan yang lebih tinggi di Jawatankuasa Olimpik Itali.

"Kami percaya bahawa kami berada dalam kedudukan yang kukuh dan kami akan meneruskan usaha ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif baharu Juventus Maurizio Scanavino dalam satu kenyataan.

Juventus, berdepan siasatan daripada pihak berkuasa sukan dan undang-undang berhubung urusan akaun, yang menurut kelab itu selaras dengan piawaian industri.

Mungkin ada lagi penalti dikenakan kerana kelab itu juga didakwa bersetuju membayar balik kebanyakan pemotongan gaji berkaitan Covid-19 kepada pemain.

"Kami perlu bersedia berdepan apa sahaja situasi," kata Scanavino.

Disiarkan pada: January 23, 2023 @ 6:14pm
d