Bola Sepak

Posa tak tanding jawatan presiden

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pucuk pimpinan Sarawak United bakal berubah wajah apabila presidennya Datuk Posa Majais kemungkinan besar tidak akan mempertahankan jawatan terbabit pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 28 Januari ini.

Posa yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak FAS berkata, beliau mahu memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui kepimpinan pasukan dan badan induk bola sepak negeri itu.

Beliau berkata, walaupun mengambil keputusan tidak bertanding jawatan terbabit namun tetap memberi sokongan kepada FAS dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

"Saya mengambil keputusan terbabit kerana sudah tiga penggal memegang jawatan presiden dan tiba masanya menyerahkan kepada individu lain yang lebih layak.

"Keputusan terbabit bukanlah bermakna saya bersara daripada arena bola sepak tempatan cuma selepas ini akan memberi tumpuan kepada tugas di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Pada masa sama, saya tidak lepas tangan terhadap masalah yang melanda Sarawak United terutama berkaitan tunggakan gaji dengan berusaha menyelesaikannya dalam tempoh terdekat ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, sebelum ini Posa mempelawa individu yang berminat dan berhasrat menggalas tanggungjawab sebagai presiden dan memimpin Sarawak United untuk datang ke pejabat dan berjumpa pihak pengurusan tertinggi bagi mengadakan perbincangan lanjut.

Beliau mahu individu berkenaan mengetahui bahawa Sarawak United memerlukan perbelanjaan besar dalam semusim untuk lima pasukan utama iaitu skuad senior Liga Super, pasukan bawah 23 tahun (B-23), pasukan B-20 dan pasukan B-18, selain futsal lelaki dan wanita.

AGM FAS bakal diadakan pada 28 Januari ini bagi pemilihan presiden dan jawatankuasa baharu untuk penggal 2023-2025.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 1:34pm
d