Bola Sepak

Galtier cari jalan berdepan jadual padat

Oleh Reuters

Paris: Jurulatih Paris St Germain (PSG), Christophe Galtier akan memantau tahap kecergasan pemain dan menguruskan penggiliran skuad dengan berhati-hati, ketika pasukan Ligue 1 itu berdepan jadual padat yang boleh mengganggu prestasi musim ini.

PSG akan berdepan enam perlawanan dalam tempoh 16 hari, termasuk saingan 16 akhir Piala Perancis menentang Olympique de Marseille dan aksi 16 akhir Liga Juara-Juara bertemu Bayern Munich bulan depan.

Kelab ibu negara Perancis itu hanya mendahului tiga mata di atas pasukan kedua Ligue 1, RC Lens dan mereka menunjukkan kekurangan kreativiti dan tidak agresif dalam perlawanan baru-baru ini.

PSG tewas dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan dalam saingan liga, menentang Lens dan Stade Rennais.

"Dengan beberapa siri perlawanan setiap tiga, empat hari bermula minggu baru, kami perlu sangat berhati-hati dalam cara kami menangani skuad, dari segi penggiliran dan ketahanan fizikal," kata Galtier selepas PSG melangkah ke saingan 16 akhir Piala Perancis lepas dengan membelasah Pays de Cassel 7-0.

Walaupun mungkin menarik untuk memberi tumpuan terutamanya kepada Liga Juara-Juara, iaitu trofi yang masih belum dimenangi PSG - Galtier berkata, kelabnya tidak akan menumpukan kepada mana-mana perlawanan tertentu.

"Cita-cita kami adalah untuk meneruskan perjalanan," kata Galtier ketika ditanya mengenai perjalanan ke Marseille, seminggu sebelum mereka menjadi tuan rumah kepada Bayern.

"Dan untuk itu kami perlu menumbangkan Marseille dalam konteks yang tidak mudah dari segi jadual perlawanan."

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 8:41pm
d