Bola Sepak

Rumput STAR dijangka diganti tahun depan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Penukaran rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, dijangka akan dapat dilakukan tahun depan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, pihaknya akan memberikan tumpuan kepada kerja baik pulih sistem saliran di padang berkenaan terlebih dulu.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata, sebagai pihak bertanggungjawab terhadap pengurusan stadium itu, pihaknya menyambut baik cadangan untuk menukar rumput jenis Zeon Zoysia.

"Penggantian rumput jenis Zeon Zoysia di stadium tidak dilaksanakan pada waktu terdekat.

"Memang ada tawaran dari Kementerian Belia dan Sukan (penggantian rumput), ia hanya untuk padang sahaja.

"Namun, kami perlu baiki sistem saliran dahulu. Ia akan ambil masa sedikit dan bukan musim ini, bukan dalam masa terdekat kerana keutamaan perlu diberikan kepada membetulkan saliran," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani memaklumkan KBS bersetuju membantu kerajaan negeri untuk menukar rumput sedia ada stadium itu kepada rumput jenis Zeon Zoysia.

Sementara itu, Masri berkata, pihaknya kini dalam proses melantik kontraktor bagi kerja pemasangan kerusi baharu di tempat duduk penonton di stadium itu.

Beliau berkata, fasa pertama pemasangan kerusi dengan kos RM1.3 juta hanya akan membabitkan bahagian teres bawah tempat duduk penonton termasuk di bahagian berbumbung (grandstand) dan projek akan bermula Mac depan.

Disiarkan pada: January 25, 2023 @ 8:53pm
d