Bola Sepak

JDT tak panik diajar Rostov

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Walaupun tewas pada perlawanan persahabatan pertama menentang pasukan Liga Russia FC Rostov 2-0 tidak membuatkan pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Esteban Solari panik.

Hal ini kerana, pengendali dari Argentina itu berpuas hati dengan persembahan keseluruhan anak buahnya apabila menampilkan aksi terbaik menentang kelab yang berada di kedudukan ketiga Liga Russia.

Beliau berkata, barisan anak buahnya mempamerkan transisi permanan yang baik terutama membabitkan 'kedudukan bola' apabila beraksi sebagai satu pasukan.

"Hari ini (semalam) adalah satu pengajaran yang baik apabila menentang pasukan berkualiti. Sekarang kami kembali ke sesi-sesi latihan dan memperbetulkan kelemahan daripada perlawanan ini.

"Niat utama di sini untuk belajar dan mencabar diri kami untuk berhadapan dengan pasukan lebih kuat supaya kami dapat memperbaiki pasukan dari apa yang kami ada sebelum ini.

"Perlawanan seterusnya juga lebih sukar dan kami perlu bekerja keras setiap hari sebelum bermulanya kempen 2023."

JDT dalam rangka persediaan mengharungi musim 2023 dengan mengadakan latihan pra musim di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) bertemu kelab Eropah.

Juara sembilan kali Liga Super itu dijangka mengadakan pertemuan dengan kelab berpangkalan di Bulgaria iaitu Levski Sofia (31 Januari), Lokomotiv (2 Februari) dan Zenit (6 Februari).

Pertembungan dengan empat pasukan dari Eropah itu bukan saja dapat memantapkan kesebelasan utama JDT malah menunjukkan cita-cita Harimau Selatan untuk unggul di peringkat domestik dan Asia.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 3:26pm
d