Bola Sepak

Newcastle berpeluang cerah ke final Piala Liga

Oleh Agensi

London: Berbekalkan kelebihan 1-0 selepas separuh akhir pertama, Newcastle United mahu melengkapkan tugasan apabila melayan Southampton di St James Park bagi aksi kedua, awal pagi Rabu ini, sekali gus mara ke final Piala Liga.

Jaringan Joelinton memberikan kelebihan buat Magpies menjelang aksi kedua itu ketika skuad kendalian Eddie Howe tidak sabar untuk menanti lawan seterusnya sama ada Manchester United atau Nottingham Forest di final.

Masalah membelenggu Newcastle pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kebelakangan ini apabila seri tanpa jaringan berdepan Crystal Palace berulang apabila bahagian serangan gagal menggunakan dominasi mereka pada perlawanan pertama.

Malah, Joelinton gagal menyempurnakan banyak peluang sebelum pemain Brazil itu memecah kebuntuan pada minit ke-73 hasil hantaran lintang Alexander Isak.

Newcastle yang sudah sebelah kaki ke final semakin menghampiri kebangkitan terbaik mereka dan gelaran pertama selepas gelaran Piala FA pada 1954-55.

Lawan mereka dijangka Man United yang nampak selesa selepas menewaskan Forest 3-0 pada perlawanan pertama.

Kekalahan di pusingan ketiga Piala FA tahun ini kepada Sheffield Wednesday bermakna skuad Howe ada seminggu penuh untuk pulih dan mereka boleh mara ke final pertama sejak 1998-99.

Newcastle kali terakhir mara ke final Piala Liga ialah pada 1976 - yang akan menjadi paling lama dalam sejarah sekiranya mereka melakukannya awal pagi Rabu ini dan rentetan lapan perlawanan tanpa bolos di laman sendiri menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan.

Newcastle tidak mengalami masalah kecederaan baharu ketika Howe hanya perlu menurunkan pemain tanpa Jonjo Shelvey, Emil Krafth dan Matt Targett.

Sesuatu yang mengejutkan jika jurulatih itu menurunkan kesebelasan sama di padang walaupun Isak boleh digunakan dalam pasukan utama selepas membantu jaringan kemenangan Joelinton minggu lalu.

Bagaimanapun, Howe mengakui Isak perlu mendapatkan kecergasan sebenar dalam latihan dan mungkin akan digunakan sebagai pemain simpanan sekali lagi.

Disiarkan pada: January 30, 2023 @ 1:46pm
d