Bola Sepak

KDA FC bakal senarai sembilan pemain import

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal menyenaraikan sembilan pemain import bagi meningkatkan lagi kemampuan pasukan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, terdapat dua lagi slot untuk pemain import selepas tujuh import diumumkan dalam proses mempersiapkan pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

"Masih ada pemain bagi melengkapkan sembilan pemain import dan kita akan umum nama mereka dalam tempoh terdekat ini.

"Sebelum ini, kami mengumumkan pemain import dari Brazil Jonathan Balotelli, jadi akan ada lagi dua slot pemain import akan diumumkan dalam masa terdekat dan mungkin sebelum kami ke jelajah pramusim di Turkiye, minggu depan.

"Kalau mereka tidak dapat bersama pasukan ke Turkiye, pemain itu akan mengikuti latihan bersama pasukan Liga Simpanan Kedah bawah 23 tahun," katanya.

Sang Kenari kini memiliki tujuh pemain import iaitu Amirbek Jurabaev dari Tajikistan, Manuel Ott (Filipina), Alan Robertson (Afrika Selatan), Manuel Hidalgo (Argentina), Bojan Ciger (Serbia), Willian Lira (Brazil) dan Jonathan Balotelli (Brazil).

Mengenai perlawanan pramusim empat penjuru dalam Piala Harapan 2023 di Pulau Pinang yang akan bermula esok, Khamal berharap Sang Kenari dapat mempamerkan keserasian.

Beliau berkata, piala itu membabitkan Penang FC selaku tuan rumah, KDA FC, Selangor FC dan kelab Singapura, Geylang International FC.

Disiarkan pada: January 31, 2023 @ 1:38pm
d