Bola Sepak

Al Ahly mudah singkirkan Auckland

Oleh Reuters

Tangier: Hussein El Shahat, Mohamed Sherif dan Percy Tau berjaya menjaringkan gol ketika kelab Mesir, Al Ahly melakar kemenangan 3-0 ke atas Auckland City pada saingan Piala Dunia Kelab di Maghribi untuk mara ke pusingan kedua menentang Seattle Sounders.

Ahly, yang memenangi pingat gangsa dalam dua edisi sebelum ini, mendominasi perlawanan di Stadium Ibn Batouta di Tangier dan kini menantikan perlawanan lebih sukar menentang wakil Major League Soccer di venue sama Sabtu ini.

Kelab Kaherah itu terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan separuh masa pertama dalam perlawanan pembukaan menentang juara Oceania itu, apabila El Shahat meloloskan diri dari sayap kiri dan melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol, Conor Tracey.

Kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-56 selepas Sherif melepasi perangkap ofsaid dan menyepak bola melepasi Tracey tatkala Auckland tidak dapat melakukan banyak serangan.

Pemain antarabangsa Afrika Selatan, Tau menambah gol ketiga dengan penyudah mudah.

Pemenang perlawanan antara Ahly dan Sounders akan menentang Real Madrid di separuh akhir.

Pasukan kegemaran tuan rumah dan juara Afrika, Wydad Casablanca akan menentang Al-Hilal dari Arab Saudi dalam perlawanan pusingan kedua Sabtu ini.

Pemenang dalam perlawanan itu akan bertemu pasukan dari Brazil, Flamengo pada separuh akhir.

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 11:07am
d