Bola Sepak

Piala MFL medan jurulatih muda cipta nama

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Saingan Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) diharapkan bukan sekadar platform pemain bawah 23 (B-23) tahun negara menunjukkan kebolehan, malah sebenarnya lubuk buat jurulatih tempatan mencipta nama.

Bekas penyerang negara, Safee Sali berkata, dia mahu melihat lebih ramai jurulatih tempatan memperagakan kepakaran membimbing pasukan dalam kempen liga simpanan itu.

"Piala MFL mempunyai struktur tersendiri yang saya rasa sangat baik sebagai kesinambungan pembangunan pemain-pemain muda selepas Piala Presiden dan Piala Belia.

"Pemain-pemain ini mampu meneruskan kerjaya mereka pada pentas B-23 tahun dan dalam masa sama, saya rasa Piala MFL mampu menjadi medan kepada jurulatih muda mencipta nama.

"Saya harap Piala MFL mampu berkembang dengan baik sekali gus menjadi medan yang kompetitif dalam kita melahirkan pemain muda yang berkualiti," katanya.

Di bawah format Piala MFL yang menjadi platform kepada pemain B-23 itu, semua pasukan boleh mendaftarkan lima pemain senior tempatan melebihi umur (lahir sebelum tahun 2000) dan tiga pemain import pada sesuatu perlawanan dengan pasukan diberikan beberapa pilihan bagi menggunakan pemain senior dan import.

Daripada lima pemain senior tempatan yang didaftarkan, hanya tiga sahaja boleh bermain secara serentak jika pasukan tidak menurunkan pemain import.

Jika dua pemain senior tempatan diturunkan, pasukan hanya dibenarkan menggunakan seorang pemain import semasa perlawanan berlangsung.

Jika setiap pasukan menggunakan kuota dua import yang dibenarkan semasa perlawanan berlangsung, hanya seorang sahaja pemain senior dibenarkan dalam senarai 11 pemain di atas padang.

Manakala bagi kuota import, pasukan boleh mendaftarkan tiga pemain dalam skuad dengan dua sahaja dibenarkan bermain semasa permainan berlangsung dan seorang lagi sebagai pemain gantian.

Namun jika setiap pasukan menggunakan kuota dua import yang dibenarkan semasa perlawanan berlangsung, hanya seorang sahaja pemain senior dibenarkan dalam senarai 11 pemain di atas padang.

Manakala baki seorang lagi pemain import hanya boleh masuk selaku pemain gantian kepada pemain import yang lain.

Disiarkan pada: February 3, 2023 @ 6:22pm
d