Bola Sepak

Arif patut beraksi di Eropah

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kehebatan pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi 'mengayam-ayamkan' pertahanan Lokomotiv Moscow dengan dia berjaya meledak kemenangan 1-0 dalam aksi pramusim di Dubai seharusnya membuka mata banyak pihak terutama buat kelab di Eropah.

Menurut legenda skuad Harimau Malaya, Datuk Jamal Nasir, kemampuan Arif Aiman meledak gol ke atas kelab Rusia itu sebenarnya bukanlah yang pertama, tetapi pemain lincah berusia 20 tahun itu sebenarnya sudah meledak beberapa kali ketika menentang kelab gergasi Eropah.

Paling diingati sudah tentu jaringannya ketika menentang Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim November lalu di mana dia berjaya melepasi pertahanan kental lawan yang diakui cukup agresif dan berfizikal besar.

Jelas Jamal, Arif mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada pemain tempatan lain, di mana aset utama tonggak kelahiran Pahang itu adalah kepintaran, kepantasan dan kawalan bolanya yang luar biasa.

Justeru, beliau beranggapan sudah tiba masanya Arif Aiman dilepaskan beraksi di Eropah bagi mengembangkan lagi potensi yang ada pada dirinya itu.

"Arif Aiman ini pada saya seorang pemain yang pintar atau 'Intelligent Player'. Tak ada lagi sekarang ini pemain macam dia…kalau main bola semua orang boleh main bola, tapi kepintaran tak ada.

"Dia punya bijak itu membolehkan dia cepat membuat keputusan apabila bola ada di kakinya, selain dia boleh cepat fikir bagaimana untuk melepaskan dirinya jika dikepung pertahanan.

"Saya bukan cakap kosong, tengok saja gol dia ke atas Lokomotiv Moscow dan juga Borussia Dortmund sebelum ini, bagaimana dia boleh mengatasi begitu mudah pertahanan lawan.

"Bukan senang nak lepas pertahanan 'Mat Salleh'…bukan sekali tetapi dah banyak kali. Itu menunjukkan dia ada potensi main di Eropah. Jadi, dengan kepintaran dia, kepantasan dia dan 'First Touch' dia yang baik, saya fikir dia kena keluar main di Eropah," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya lagi, mungkin destinasi sesuai buat Arif Aiman adalah di Liga Croatia dengan bermain bersama kelab tersohor seperti Dinamo Zagreb dan lain-lain.

"Saya tak fikir Liga Jepun atau Liga Korea buat Arif Aiman, sebab macam saya katakan tadi potensi dia jauh daripada itu.

"Kalau main di Eropah pula tak semua liga boleh ambik pemain Malaysia kerana adanya liga yang meletakkan ranking tinggi Fifa sebagai peraturan.

"Saya lihat Liga Croatia sesuai buat Arif Aiman untuk jadikan liga itu batu loncatan buatnya sebelum mengintai peluang main dengan liga lebih besar di Eropah," katanya.

Untuk rekod, JDT pernah meminjamkan Safawi Rasid bermain di Liga Portugal bersama Portimonense SC pada Oktober 2020 lalu, sebelum pulang ke tanahair beberapa bulan selepas itu.

Disiarkan pada: February 3, 2023 @ 8:21pm
d