Bola Sepak

Pasukan campuran Perak FC

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Perak FC menyangkal dakwaan bahawa pasukan terbabit hanya 'tangkap muat' dalam pemilihan pemain dengan mempertaruhkan pemain muda semata-mata untuk mengharungi saingan Liga Super musim 2023.

Hal ini kerana, Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsuddin menjelaskan bahawa pasukan terbabit turut membawa masuk beberapa pemain berpengalaman untuk membantu skuad Bos Gaurus beraksi lebih kompetitif kelak.

Beliau berkata, antara pemain berpengalaman yang sudah dibawa masuk adalah penjaga gol Bryan See (29 tahun), Wan Zack Haikal Wan Nor (32) dan pemain import Nigeria Christian Obiozor (28).

"Apa yang diperkatakan oleh penyokong tidak betul apabila mereka mengatakan kita hanya semata-mata bergantung kepada pemain muda untuk mengharungi musim 2023.

"Dalam pasukan turut ada pemain senior dan berpengalaman cuma sekarang ini mahu menonjolkan tonggak muda pada setiap perlawanan.

"Berdasarkan pada perlawanan pada Piala Menteri Wilayah Persekutuan, saya telefon Lim Teong Kim untuk mengatakan bahawa pemain mempamerkan aksi yang bagus dan penyokong pun menyukainya," katanya.

Selain itu, Bobie yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ONEXOX Sdn Bhd tidak mahu meletakkan sasaran tinggi pada saingan musim 2023 dengan mengharapkan pasukan mampu mencipta keputusan positif pada setiap perlawanan Liga Super.

"Kami mengharapkan Perak FC mampu memberi saingan berdasarkan penampilan pemain muda dan sudah memadai jika pasukan berada di kedudukan tujuh terbaik.

"Pada masa sama, kami mahu jadikan bola sepak sebagai sukan yang menghiburkan sekali gus mampu menjana ekonomi seperti kelab eropah," katanya.

Mengikut rekod, Perak FC tewas 3-0 kepada naib juara Piala AFC musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, pada Ahad lalu.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 1:50pm
d