Bola Sepak

FAM sedia pertimbang 'hajat' TMJ

Oleh Syazwan Msar

Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berhadapan sebarang masalah sekiranya pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu menjadi pengurus pasukan bola sepak kebangsaan.

Menurut Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sememangnya beliau ada mendengar desas-desus perkara terbabit di media sosial namun sehingga kini belum lagi mendengar daripada mulut Tunku Ismail.

"Jika ia perkara yang baik untuk Harimau Malaya mengapa tidak, saya mahu bola sepak negara sentiasa meningkat semasa saya jadi presiden.

"Setakat ini saya masih belum dengar perkara itu daripada mulut baginda tetapi jika perkara itu betul saya perlu bincang dengan semua Exco FAM," katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran atas Hamidin sebagai Ahli Majlis Fifa 2023-2027, di Wisma FAM, di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan terdapat desas-desus yang mengaitkan Tunku Ismail sebagai pengurus skuad Harimau Malaya berdasarkan kepada komitmen dan bantuan kepada pasukan kebangsaan.

Tunku Ismail sebelum ini mengeluarkan perbelanjaan membeli peralatan kecergasan untuk Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan sebagai persediaan menghadapi perlawanan Piala Asia awal 2024.

Selain itu Hamidin berkata, beliau perlu mengadakan perbincangan bersama barisan Exco sebelum memutuskan berkaitan skuad kebangsaan.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 5:48pm
d