Bola Sepak

Claudinho kagum kemampuan JDT

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kehebatan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan 'kaleng-kaleng' apabila mendapat perhatian penyerang Zenit St Petersburg, Claudinho.

Walaupun JDT tewas 0-3 kepada kelab gergasi Rusia itu pada perlawanan pramusim di Dubai, baru-baru ini, selain dikatakan bagai pertemuan 'langit dan bumi', Claudinho mengaku juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu adalah sebuah pasukan sangat baik.

Malah, Claudinho tidak menganggap kekalahan itu mencerminkan kualiti sebenar skuad bimbingan Esteban Solari itu memandangkan mereka memiliki barisan pemain berkualiti.

"Kemenangan ini lebih manis kerana ini kali pertama Zenit St Petersburg menentang pasukan dari Malaysia. Tetapi saya melihat mereka adalah pasukan yang bagus dan bersedia untuk berjuang.

"Saya sempat berbual dengan beberapa pemain dari Brazil yang mewakili pasukan itu. Mereka berada pada tahap terbaik dan memiliki beberapa pemain berkualiti.

"Perlawanan ini sangat menghiburkan," katanya menerusi laman sesawang pasukan itu.

Berdasarkan semakan di Internet, Zenit St Petersburg yang turut beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu menghuni kedudukan ke-58 dunia sementara JDT pula berada pada ranking ke-1,450 dunia.

JDT mengharungi lima perlawanan pramusim di Dubai apabila mereka membuka kempen dengan tewas 0-2 kepada FC Rostov.

Kemudian mereka bangkit merakam dua kemenangan berturut-turut apabila menewaskan Fursan Hispania 3-0 dan 1-0 menentang Lokomotiv Moscow.

Sementara itu, satu lagi aksi persahabatan JDT ketika berdepan kelab Bulgaria, Levski Sofia ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan pemain ketika JDT mendahului 1-0.

Disiarkan pada: February 8, 2023 @ 5:15pm
d