Bola Sepak

Tedesco pengendali baru Belgium

Oleh AFP

Brussels: Domenico Tedesco dilantik sebagai ketua jurulatih baru bagi skuad bola sepak kebangsaan Belgium, hari ini.

Tedesco, 37, yang dilahirkan di Itali menggantikan tempat Roberto Martinez, yang meletak jawatan selepas Belgium gagal mara ke pusingan kalah mati di Piala Dunia Qatar 2022, tahun lalu.

Menurut Persekutuan Bolasepak Belgium (RBFA), kontrak Tedesco adalah sehingga Euro 2024 di Jerman.

Martinez meninggalkan skuad Red Devils selepas tersingkir di peringkat kumpulan di Qatar 2022, sekali gus mengakhiri era pemain generasi emas negara itu.

"Misinya adalah memastikan Belgium layak ke Euro 2024 di Jerman. Perlawanan kelayakan pertama menentang Sweden di Stockholm pada 24 Mac," kata RBFA.

Tedesco yang pernah membimbing Schalke, Spartak Moscow dan RB Leipzig, akan diperkenalkan di sidang media, tidak lama lagi.

"Bagi saya, ia adalah pengiktirafan besar apabila dilantik sebagai ketua jurulatih baru Belgium. Saya teruja untuk memikul cabaran ini dan benar-benar bermotivasi. Saya merasakan perasaan bagus sejak perbualan pertama," kata Tedesco menerusi kenyataan RBFA.

Disiarkan pada: February 8, 2023 @ 7:56pm
d