Bola Sepak

Madrid tak goyah biarpun tanpa Benzema

Oleh AFP

Rabat: Real Madrid membuktikan mereka boleh menemui sentuhan jaringan biarpun turun padang tanpa pemain azimat Karim Benzema pada perlawanan akhir Piala Dunia Kelab Ahad ini menentang pemain Arab Saudi, Al-Hilal di Maghribi.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti yang juga juara bertahan Eropah dan Sepanyol, menyasarkan untuk memenangi pertandingan itu buat kali kelima bagi membina semula keyakinan selepas permulaan goyah pada 2023.

Kapten Madrid, Benzema terlepas aksi separuh akhir kerana kecederaan paha tetapi bersedia menjalani latihan bersama skuad sebelum perlawanan akhir.

Los Blancos sudah pun mencatat rekod sebagai juara empat kali dan menjadi pilihan untuk menewaskan Al-Hilal selepas melakar kemenangan 4-1 di separuh akhir menewaskan pasukan dari Mesir, Al Ahly Khamis lalu.

Ancelotti berkata kecederaan Benzema tidak serius, tetapi jurulatih itu mungkin memilih untuk meletakkan pemenang Ballon d'Or di bangku simpanan walaupun dia cergas untuk bermain selepas prestasi klinikal pasukannya.

Madrid tewas dalam Piala Super Sepanyol menentang Barcelona pada Januari dan ketinggalan lapan mata di belakang pesaing mereka dalam perebutan kejuaraan La Liga.

"Kami perlu menghormati pasukan ini, mereka mempunyai pemain yang bagus dan bermain dengan baik secara kolektif. Mereka akan teruja untuk bermain di final dan begitu juga kami," kata Ancelotti.

"Bola sepak berubah kerana terdapat banyak pasukan di seluruh dunia yang boleh bersaing, berjuang dan menang juga."

"Saya gembira kami dapat bermain dengan baik."

Disiarkan pada: February 10, 2023 @ 12:22pm
d