Bola Sepak

PDRM sudah lengkap pemain import

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pendatang baharu Liga Super, PDRM FC tekad mahu menjadi pencabar baharu dalam saingan liga divisyen satu itu terutama selepas berjaya melengkapkan senarai pemain importnya.

Malah, pengendali baharu PDRM FC, Azzmi Ab Aziz meluahkan perasaan lega selepas dua pemain import baharunya sudah 'mendarat' di negara ini untuk menjalani latihan.

Bekas jurulatih sementara Kedah musim 2018 itu berkata, sebelum ini beliau sedikit resah kerana pemain kelahiran Myanmar, Kyaw Min Oo menghadapi masalah untuk tiba lebih awal ke negara ini atas beberapa faktor, begitu juga dengan seorang lagi pemain importnya kelahiran Nigeria, Uche Agba.

"Alhamdulillah semua enam pemain import kami sudah tiba termasuk yang terakhir pemain kelahiran Myanmar dan bekas penyerang Sarawak United FC (SUFC), dua pemain itu yang beraksi di posisi tengah dan serangan sudah bersama rakan sepasukannya menjalani latihan hampir dua minggu lalu.

"Kehadiran semua pemain import dan tempatan penting sebagai persediaan sebelum mengharungi kancah liga yang berbaki kira-kira dua minggu lagi.

"Kini saya lega kerana boleh fokus kepada semua aspek termasuk taktikal, teknikal, strategi dan gandingan yang mantap antara pemain," kata bekas 'arkitek' skuad kebangsaan musim 1997 ketika dihubungi.

Ketika ditanya sasarannya pada musim ini, bekas pemain Selangor, PDRM dan Perlis itu akui mana-mana pasukan sudah pasti mempunyai sasarannya yang tersendiri begitu juga dengan skuad kendaliannya.

"Namun saya perlu realistik lebih-lebih sebagai pendatang baharu Liga Super, tapi yang penting kami bertekad menjadi pencabar utama selain mahu kekal beraksi dalam saingan liga utama itu pada musim depan.

"Bagaimanapun dalam bola sepak apa-apapun boleh terjadi, jika pemain fokus dalam setiap perlawanan dan memperagakan aksi bertenaga lebih-lebih lagi dengan kehadiran enam tonggak import, kita mampu melangkah lebih jauh pada musim ini," kata jurulatih berusia 48 tahun kelahiran Selangor itu.

Selain dua tonggak import itu, skuad Sang Saka Biru itu turut diperkuatkan Bruno Suzuki (Jepun), James Okwuosa (Nigeria), Marcus Macauley (Liberia) dan pemain kelahiran Jordan, Fadi Awad.

Disiarkan pada: February 10, 2023 @ 6:21pm
d