Bola Sepak

Identiti ugut Rontini sudah dikenal pasti

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tindakan pantas pihak berkuasa keselamatan menyaksikan identiti yang mengugut pemain import Kelantan FC, Christian Mangaron Rontini difahamkan sudah dikenal pasti.

Perkembangan itu dikongsikan pemilik skuad The Red Warriors, Norizam Tukiman di laman Facebook rasminya hari ini.

Katanya, Rontini sendiri akan hadir ke balai polis bagi memberi keterangan kepada pegawai penyiasat berhubung ugutan bunuh itu.

Malah, beliau turut memuji tindakan pantas pihak polis dalam menangani kes terbabit.

"Rontini akan dipanggil untuk statement oleh pegawai penyiasat.

"Dari info, pengugut sudah dikenal pasti. Laju kerja Polis," tulisnya di laman sosial itu, sekali gus semakin hampir untuk menangkap individu yang mengugut Rontini itu.

Sebelum ini, Norizam mendedahkan bahawa pemain importnya, Christian Mangaron Rontini diugut bunuh oleh peminat di laman sosial.

Susulan ugutan itu, satu laporan polis sudah dibuat pada Rabu lalu serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau juga mengesahkan pihak polis sudah memulakan siasatan di mana pihaknya turut dipanggil pegawai penyiasat pada hari sama selepas laporan di buat.

Rontini, 22, adalah import baharu skuad The Red Warriors dari Filipina yang akan mengisi kuota pemain Asean musim ini.

Disiarkan pada: February 11, 2023 @ 3:10pm
d