Bola Sepak

Lain macam gol Joseph Kalang Tie [VIDEO]

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Jaringan sejauh 70 meter daripada bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie nyata mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan yang memuji gol itu.

Tendangan yang dilepaskan Joseph dari luar bulatan tengah dilakukan ketika aksi pramusim antara pasukannya, Kuching City FC menentang kelab Kemboja, Phnom Penh Crown di Stadium RSN di Kemboja, baru-baru ini.

Arena Metro yang menghubungi pemain berusia 36 tahun itu mengakui ia antara jaringan terbaik dalam kariernya.

Malah ketika ditanya jika gol terbabit dicalonkan dalam Anugerah Puskas Fifa nanti, dia menganggap ia sebagai rezeki yang jarang hadir.

"Kalau betul nak calonkan (di Anugerah Puskas Fifa), saya anggap ia rezeki…terpulang saja dan terima. Saya ucap terima kasih kepada yang menghargai gol itu," katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, pemain Malaysia pernah menggegar dunia apabila Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas 2016 lalu hasil jaringan lencongnya dalam aksi Liga Malaysia bersama Penang FC.

Berkongsi tentang gol itu, bekas pemain Terengganu FC dan Selangor FC itu mengakui tidak menyangka percubaannya tepat menuju ke sasaran.

"Dalam perlawanan itu, saya bermula sebagai pemain simpanan. Saya duduk di luar dan masa perlawanan sedang berlangsung, saya tengok penjaga gol itu (penjaga gol Phnom Penh Crown) selalu berada pada kedudukan jauh daripada gawang.

"Jadi saya cakap pada diri saya, kalau saya masuk nanti, saya nak 'try' hayunlah dari jauh. Bila saya dimasukkan bermain, saya dapat bola dan hayun bola itu dan tak sangka masuk.

"Boleh kata gol ini yang terbaik, tapi kalau ikutkan ada juga gol dari tepi dan lain-lain pernah saya jaringkan. Terpulang kepada penilaian peminat, dan saya anggap rezeki," katanya.

Mengulas mengenai pasukan menjelang saingan Liga Super musim ini, Joseph akui Kuching City sudah bersedia menghadapi kempen kali ini.

"Kami pertama kali main Liga Super musim ini, jadi kita tahu bukan mudah apatah lagi banyak pasukan handalan seperti JDT, Selangor, Kedah dan lain-lain. Bagi saya, kami akan ambil 'game by game' dan cuba buat sebaik mungkin," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2023 @ 7:04pm
d