Bola Sepak

Fergus Tierney dapat panggilan Harimau Muda

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Muda negara membuat kejutan apabila menyenaraikan pemain kacukan Malaysia-Scotland, Fergus Tierney dalam senarai 25 pemain yang diumumkan hari ini.

Pasukan Bawah 23 (B-23) tahun negara yang dibimbing E Elavarasan itu dijadual memulakan latihan pusat pada Selasa ini.

Tierney, 20, sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan JDT II pada musim lalu, dan panggilannya dilihat mampu mengukuhkan kemampuan pasukan itu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan menjelaskan kem latihan itu sebagai perancangan untuk menguji pemain terutama yang baharu dipanggil.

Malah, ia menjadi salah satu siri persiapan skuad muda negara untuk ke Sukan Sea bermula 29 April hingga 15 Mei depan di Kemboja.

"Pendekatan itu diambil memandangkan peraturan pertandingan bola sepak Sukan Sea 2023 Kemboja yang menggunakan format umur iaitu bawah 22 tahun sahaja dibenarkan bermain termasuk dua kuota pemain lebih umur dalam kejohanan Sukan Sea tahun ini.

"Kesempatan itu diambil dengan memberikan peluang dan laluan kepada pemain lain untuk diuji Elavarasan di mana barisan tonggak Sukan Sea edisi lalu akan dipanggil pada kem latihan pusat bulan hadapan," kata FAM.

Disiarkan pada: February 11, 2023 @ 7:33pm
d