Bola Sepak

Pemain tinggi lampai pilihan Kelantan FC

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Kelantan FC dilihat membuat penampilan berbeza musim ini apabila memilih pemain tinggi lampai khususnya pemain import.

Mengetuai bahagian serangan, pemain Gambia, Nuha Marong Krubally dengan ketinggian 193 sentimeter (cm) dipilih sebagai penggempur utama.

Pemain berusia 29 tahun itu dikhabarkan bakal bergandingan dengan Ismaheel Akinade, penyerang Nigeria dan import Haiti, Kervens Belfort yang dikekalkan dalam pasukan The Red Warriors.

Akinade, 29 dan Belfort, 31 tahun masing-masing berketinggian 190cm dan 183cm.

TRW Kelantan FC turut mengesahkan kehadiran pertahanan tengah dan pemain sayap Korea Selatan, Kim Ming Kyu (188cm) dan Kang Eui Chan (179cm) ke pasukan bimbingan Choi Moon Sik.

Nuha Marong, sebelum ini bermain untuk Rajasthan United, India dan berpengalaman dalam skuad kebangsaan Gambia tahun 2019 dan skuad kebangsaan Sepanyol bawah 21 tahun.

Bagi pemain tempatan pula,pasukan milik Norizam Tukiman menyenaraikan pemain Mohd Farhan Abu Bakar, Muhammad Afiq Azuan, Ahmad Khairil Anuar dan Shafiq Shaharudin.

Kelantan FC turut mengikat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II FC, Mohamad Rozaimi Rahamat di posisi penjaga gol.

Ubi muda Sabah FC, Gerald Gadit turut bersama pasukan secara pinjaman bagi saingan Liga Super 2023.

Disiarkan pada: February 11, 2023 @ 8:33pm
d