Bola Sepak

PSG tagih khidmat Mbappe

Oleh AFP

Paris: Paris Saint-Germain berharap Kylian Mbappe dapat pulih sepenuhnya daripada kecederaan dengan segera dan tampil dalam aksi getir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich awal pagi esok.

Mbappe diketepikan selama tiga minggu selepas mengalami kecederaan betis ketika menentang Montpellier pada 1 Februari tetapi kembali menjalani latihan pada Ahad dan semalam.

Bintang Perancis itu kemudiannya dinamakan dalam skuad 22 pemain untuk aksi 16 terakhir dengan perlawanan peringkat pertama di Parc des Princes.

Namun, jurulatih PSG, Christophe Galtier berkata tiada jaminan buat pemain berusia 24 tahun itu yang meledak tujuh gol dalam enam perlawanan peringkat kumpulan diberikan peluang beraksi.

"Dia berlatih dengan baik dan maklum balas juga positif tetapi belum dipastikan sama ada dia tersenarai dalam pasukan. Kami akan memantau situasinya pada saat akhir," kata Galtier kepada media semalam.

Jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann dilaporkan sebelum ini berkata PSG bermain psikologi apabila mengumumkan Mbappe tidak cukup cergas untuk aksi peringkat pertama itu tetapi dinafikan Galtier.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 12:19pm
d