Bola Sepak

Kehadiran Honda ke KL cetus tanda tanya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas bintang bola sepak Jepun, Keisuke Honda kini berada di ibu kota dan kehadirannya masih menjadi tanda tanya.

Honda, 36, yang pernah beraksi bersama AC Milan di Serie A Itali dari 2014-2017 itu pernah mencipta sensasi dengan gaya permainan menarik hingga dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada saingan Piala Asia 2011.

Mungkin beberapa persoalan bermain di fikiran, antaranya adakah dia sedang mencari pasukan baharu untuk beraksi atau mengintai peluang melatih pasukan di Liga Malaysia.

Begitupun, difahamkan Honda sudah setahun tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif dengan kali terakhir bersama kelab FK Suduva di Liga Lithuanian pada 2021.

Dia pernah dikaitkan dengan pasukan Selangor FC pada dua musim lalu selepas terdapatnya laporan portal sukan, Tokyo Sports Web yang mengaitkannya dengan skuad Red Giants, sebelum Honda menerima tawaran kelab Azerbaijan, Neftci Baku pada ketika itu.

Malah, jika dia berhasrat melatih mana-mana pasukan dalam liga tempatan, ia dilihat tidak mustahil kerana Honda pernah mengemudi pasukan kebangsaan Kemboja sebelum ini.

Bagaimanapun berdasarkan tinjauan di Instagram miliknya, didapati Honda sedang menikmati percutian di beberapa negara di Asean seperti Hanoi, Bangkok dan kini singgah di Kuala Lumpur.

Perkongsian gambarnya di depan Menara Berkembar Petronas itu menarik minat peminat bola sepak tempatan yang mungkin teruja jika dia dapat beraksi di Liga Malaysia, musim ini.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 6:37pm
d